MAJLIS KORBAN PERKIM BERSAMA MUALAF


GAMBAR 1
Peserta bersama-sama penduduk setempat bergotong-royong dalam aktiviti melapah daging korban.

 GAMBAR 2 
Lembu yang sedia untuk dikorbankan.
  
GAMBAR 3
Petugas memotong bahagian-bahagian lembu untuk diagihkan.

 GAMBAR 4
Sulaiman (kiri) bersama petugas korban mengasingkan daging dari tulang.
 GAMBAR 5
Kerjasama yang dilakukan oleh penduduk setempat dalam aktiviti melapah, memotong dan mengerat daging korban.
 GAMBAR 6
Petugas (kiri) menyampaikan daging korban kepada Saudara Muslim.
 GAMBAR 7
Ustaz Sabri Abd Rani (kanan) menyampaikan ceramah bertajuk Qurban kepada peserta











GAMBAR SABRI ABD RANI

MAJLIS KORBAN PERKIM BERSAMA MUALAF
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. (as-Soffat: 104 -106)

Bagi mengenang dan mencontohi pengorbanan besar dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail dalam melaksanakan ketakwaanya kepada perintah Allah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan ‘Majlis Qurban Bersama Saudara Muslim’ bertempat di Surau al-Islah, Kuarters Inai Merah Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada 27 Oktober 2012 lalu. 



Majlis yang dihadiri seramai 180 orang itu mendapat kerjasama daripada Perkim Bahagian Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Surau al-Islah dan Persatuan Penduduk Kuarters Inai Merah MBPJ.

Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, Perkim meraikan Saudara Muslim bersama masyarakat setempat bagi mewujudkan ukhwah Islamiah serta mengeratkan silaturahim.

“Ia secara tidak langsung memberi pendedahan dan kefahaman kepada Saudara Muslim mengenai cara penyembelihan haiwan korban secara praktikal sebagai satu ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Kata Farhan lagi, melalui pengorbanan itu, ia melatih kesediaan hamba-Nya untuk mengorbankan apa sahaja semata-mata kerana Allah termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang tercinta.

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. (al-Maidah: 3)

“Ia melatih peserta supaya ikhlas dalam melakukan amalan korban semata-mata untuk mendapatkan keredaan daripada Allah serta bersyukur dengan segala nikmat-Nya yang diberikan, jelas Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim.

Katanya, sebanyak lima ekor lembu dan dua ekor kambing disumbangkan kepada Perkim untuk dikorbankan serta diagihkan kepada Saudara Muslim, fakir miskin dan penduduk setempat pada majlis yang diadakan buat kali ketiga itu.

Saudara Muslim bersama-sama penduduk setempat bersama-sama memegang haiwan korban tersebut dengan membaca Bismillah serta melaungkan takbir sambil menyembelih lembu dan kambing. Kemudian mereka memotong, melapah dan mengerat daging serta tulang haiwan korban itu untuk diagihkan.

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Baqarah : 172)

Beliau menyeru peserta hendaklah sentiasa mengingati bahawa kehidupan itu memerlukan liku-liku pengorbanan untuk menikmati kemanisan kejayaan.

Majlis diserikan lagi dengan ceramah yang bertajuk ‘Qurban’ disampaikan oleh Sabri Abd Rani selaku pendakwah bebas.

Beliau memberi kesedaran dan keinsafan kepada peserta dengan menayangkan beberapa video antaranya 'Laksanakan Perintah Allah Walaupun Tiada Tangan', 'Mati Tatkala Berucap', 'Pengorbanan Cita-cita Anak', 'Pengorbanan Ayah OKU Demi Anak', 'Mati Beriman Atau Tidak?' serta 'Pengorbanan Penguin'.

Beliau turut menekankan nilai-nilai murni dalam beberapa aspek fekah antaranya mengenai kematian yang sedikit sebanyak dapat menghijrahkan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sabri yang juga memiliki konsultan Perunding Fokus Budi mengajak peserta menghayati kesusahan, keperitan dan kesempitan hidup yang dihadapi oleh mereka yang berada di Palestin, Somalia, Afrika dan Rohingya yang jauh lebih derita berbanding di Malaysia.

Selain itu, beliau memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bekerjasama, perpaduan, bersatu hati, menghindari sikap tidak bermoral agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.

Sabri turut menceriakan peserta dengan melakukan beberapa aktiviti permainan kecekapan diri dan minda.

Peserta dihidangkan masakan daging korban di jamuan makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah di akhir majlis.

Turut hadir, Setiausaha Kerja Perkim, Zulkefli Arifin dan Pengerusi Surau al-Islah Kuarters Inai Merah MBPJ, Abu Halipah Ali.
          
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
                
PERKIM KEBANGSAAN
Tingkat 4, Bangunan PERKIM,
150 Jalan Ipoh 51200 Kuala Lumpur.
Tel : 03-40426224 Faks : 03-4042 7403 
Website : www.perkim.net.my 
Email : webmaster@perkim.net.my , perkimkebangsaan@yahoo.comwww.perkim.net.my

No comments:

Post a Comment